Untuk mendekatkan diri kita dengan Tuhan, kita perlu membaiki
diri. Membaiki diri di sini bukan setakat membaiki yang lahir
tetapi yang batin. Memperbaiki diri batin ialah dengan menyuci dan
membersihkan roh dari najisnajis dan kekotoran-kekotoran yang
bersifat maknawi, yang melekat pada setiap wajah rohani kita sama
ada pada akal, pada hati dan pada nafsu.
Najis akal ialah kesyirikan dan men’syarikat’kan
Tuhan dengan sesuatu yang lain. Ataupun kufur terus terhadap-Nya.
Najis akal termasuk juga segala pegangan kepada fahaman dan
ideologi ciptaan manusia.
Najis hati ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah yang
bersarang di hati. Contoh sifat-sifat tersebut adalah seperti
riyak, sombong, angkuh, tinggi diri, hasad dengki, pemarah,
pendendam dan sebagainya.
Najis nafsu pula ialah segala dorongan yang jahat dan negatif
yang kalau dituruti akan menimbulkan dosa dan kemurkaan Tuhan.
Apabila roh sudah diperbaiki dan disucikan secara berterusan
atau istiqamah, maka sedikit demi sedikit akan terbukalah jalan
untuk mengenal diri dan seterusnya untuk mengenal Tuhan. Untuk
dapat merasa bertuhan dan merasa kehambaan. Untuk merasakan bahawa
Allah sentiasa wujud di dalam hidup kita, sentiasa melihat,
sentiasa mendengar, sentiasa berperanan dan sentiasa mengetahui
akan hal kita lahir dan batin.
Jalan untuk memperbaiki diri ialah dengan berzikir. Bermula dari
zikir qauli (lidah), zikir fe’li (perbuatan) dan zikir qalbi
(hati).
Zikir yang paling agung dan utama sekali ialah solat. Di
dalamnya terkandung segala bentuk zikir, segala bentuk amalan para
malaikat dan segala bentuk amalan para nabi dan rasul. Di dalamnya
kita meminta petunjuk, kita meminta ampun, kita mengadu, kita
berdailog dan kita bermanja dengan Tuhan. Di dalamnya juga kita
memuji, membesarkan dan mensucikan Tuhan.
Di dalam solat, Allah mendidik kita. Namun demikian, Allah tidak
mendidik semua orang yang mendirikan solat. Allah hanya mendidik
orang-orang yang tertentu sahaja iaitu orangorang yang khusyuk,
tawadhuk dan khuduk di dalam solat.
Allah hanya mendidik orang-orang yang membawa fikiran dan hati
mereka di dalam solat. Iaitu orang-orang yang faham apa yang mereka
perbuat dan faham apa yang mereka lafazkan. Orang-orang yang dapat
menjiwai, menghayati dan merasakan di hati tentang apa yang mereka
buat dan lafazkan di dalam solat.
Bermula dari takbiratul ihram, (Allahu Akbar), jika difahami dan
dihayati dengan bersungguh-sungguh, maka akan menimbulkan rasa-rasa
tertentu di hati. ‘Allahu Akbar’ dalam takbir itu
bererti ‘Allah Maha Besar’. Ia merangkumkan segala
sifat-sifat Allah yang hebat-hebat seperti sifat Jabbar, Qahhar,
Maha Gagah, Maha Perkasa, Maha Berkuasa, Yang Menghidupkan dan Yang
Mematikan dan yang apabila Dia berkata, “Jadi” maka
jadilah sesuatu itu. Maka dengan takbir itu hati akan merasa takut,
hebat dan gerun dengan Allah. Begitulah Allah mendidik kita.
Apabila kita merasa takut dengan Allah, maka mudahlah kita
menghindarkan diri daripada membuat dosa dan kemungkaran dan segala
apa yang Allah larang. Kita sentiasa takut akan tersisih dari
rahmat keampunan dan kasih sayang Tuhan.
Namun begitu, jika perasaan takut sahaja yang Allah campakkan ke
dalam hati orang-orang yang mendirikan solat, maka akan lahirlah
hamba-hamba Allah yang sentiasa takut dan hanya akan berusaha untuk
mengelak dari membuat kemungkaran dan dosa. Tidak ada dorongan
untuk mencetuskan kebaikan-kebaikan yang lain. Oleh itu Allah SWT
syariatkan juga dalam solat supaya dibaca Basmalah iaitu
Bismillahirrahma nirrahim (dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang) terutama pada awal Surah Al Fatihah. Di dalam
mazhab Syafie, Basmalah ini merupakan sebahagian daripada ayat Al
Fatihah yang tujuh dan wajib dibaca dalam sembahyang.
Kalau Basmalah ini dihayati sungguh-sungguh, kita akan dapat
merasakan betapa pemurah dan penyayangnya Tuhan yang sentiasa
mencurahkan rahmat dan nikmatnya kepada manusia sama ada yang
berbentuk lahiriah atau material, mahupun yang berbentuk maknawi
atau spiritual. Dengan ini akan timbul rasa cinta dan kasih kepada
Tuhan. Rasa cinta ini akan mendorong kita berbakti dan membuat
kebaikan untuk Tuhan serta berusaha dan berjuang untuk mendapat
cinta dan kasih sayang-Nya.
Kemudian, pada ayat kedua surah Al Fatihah, kita disyariatkan
membaca Alhamdulillah hirrabil alamin (segala pujian bagi Allah
pencipta sekalian alam). Di sini kita memuji Tuhan sebagai tanda
syukur dan terima kasih kita atas segala rahmat, nikmat dan
kebaikan yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.
Jadi kita lihat, di dalam solat itu terkandung berbagai didikan
dari Tuhan yang di antara satu sama lainnya saling kait-mengait dan
kuat-menguatkan. Solat itu ibarat satu siri atau satu set atau satu
modul didikan rohaniah yang lengkap dan seimbang. Supaya hamba yang
mendirikan solat itu terdidik dan terbina sebagai seorang insan
yang seimbang dan kukuh lahir batinnya.
Di samping untuk memupuk sifat takut dan cinta kepada Tuhan,
berbagai-bagai lagi didikan terdapat di dalam solat. Doa yang
disyariatkan contohnya, akan meningkatkan dan menajamkan lagi
sifat-sifat hamba yang ada pada kita. Ia akan menambah
pergantungan, menaruh harap dan penyerahan diri kita kepada Allah.
Mengadu-ngadu kepada Tuhan di dalam solat pula akan melapangkan
dada seseorang hamba kerana telah menyerahkan segala beban
masalahnya kepada Tuhan untuk diselesaikan. Begitulah caranya Allah
mendidik hamba-hamba-Nya yang ikhlas, khusyuk, tawadhuk dan khuduk
di dalam mendirikan solat dengan berbagai didikan yang bermula dari
takbiratul ihram hinggalah kepada salam.
=== sekian ===
Tidak ada komentar:
Posting Komentar